MCMC, MIDA perkukuh kerjasama strategik, percepat penggunaan 5G

Nasional

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkukuh kerjasama strategik bagi mempercepat transformasi industri dan penggunaan teknologi 5G di negara ini.

Menurut kenyataan MCMC, kerjasama itu digerakkan melalui segmen “Powering Smart Industries” dalam MIDA Flagship Investment Seminar: The Industrial Cluster Development Initiative for the Central Region, yang berlangsung di ibu negara dari semalam hingga hari ini.

“Penyertaan MCMC adalah sebahagian daripada usaha kolaboratif di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MIDA yang ditandatangani pada 4 Julai 2024, bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap penggunaan 5G dalam kalangan industri dan PKS,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah pelaksanaan, MCMC bersama penyedia rangkaian mudah alih seperti CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL menganjurkan 5G Technology Showcase dan Enterprise 5G Business Clinic, yang mempamerkan aplikasi praktikal 5G dalam pembuatan pintar dan analitik masa nyata.

MCMC turut menampilkan inisiatif seperti NEXUS, PRIME, NXT, Check Your Label dan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi meningkatkan kesedaran serta libat urus industri.

“MCMC dan MIDA menegaskan komitmen strategik untuk mempercepat daya saing industri serta memacu peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan 5G,” tambah kenyataan itu.

Scroll to Top