Media Tamil Perlu Main Peranan Jadi Suara Komuniti – Teo

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Media Tamil perlu memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya dan suara utama komuniti India, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata selain itu, media Tamil perlu sentiasa diberi peluang, sokongan dan latihan yang sewajarnya supaya mereka dapat terus berkarya selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Teo berkata pengamal media Tamil boleh mengikuti pelbagai kursus dan latihan antaranya anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) seperti Bengkel Asas Berlakon, yang terbuka kepada orang awam khususnya kepada komuniti India, dari 3 hingga 7 Mac lepas.

“Kursus ini memberi peluang kepada 30 peserta untuk mendalami asas seni lakonan, membina keyakinan diri serta membuka ruang kepada bakat baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Sambutan Deepavali 2025 di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.

Teo berkata IPPTAR turut menganjurkan kursus “Kreativiti & Inovasi Dalam Membina Kandungan Media Tamil” dari 14 hingga 16 Mei lepas yang melibatkan 18 peserta media Tamil.

Selain itu, beliau berkata isu ketiadaan Bahasa Tamil pada Welcome Wall di Menara Kuala Lumpur mendapat perhatian masyarakat India serta media tempatan awal September lepas, dan ia berjaya diselesaikan dengan segera.

“Apabila isu ketiadaan Bahasa Tamil menjadi tular, saya segera menghubungi pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur agar bukan sahaja memasukkan Bahasa Tamil tetapi turut menambah baik paparan dengan memasukkan Bahasa Kadazan dan Iban,” katanya sambil menambah kini 24 bahasa dipaparkan bagi mencerminkan semangat kepelbagaian di Malaysia. 

Teo turut merakamkan penghargaan Kementerian Komunikasi terhadap jasa pengamal media yang berperanan di balik tabir penyampaian maklumat dan berita.

Beliau berkata selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan ihsan, Kerajaan MADANI telah mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan profesionalisme pengamal media sentiasa terpelihara.

 Antara tindakan yang dilaksanakan menerusi Bernama adalah memperluas perlindungan sosial melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk golongan pengamal media sambilan.

Selain itu, peluang latihan dan pembangunan profesionalisme turut dilaksana oleh Bernama serta IPPTAR, dan terbaharu berjaya mewujudkan Akta Majlis Media Malaysia yang berkuat kuasa 14 Jun lepas sebagai sebuah badan kawal selia kendiri industri media.

Teo berkata pada tahun ini, IPPTAR merancang 80 kursus dengan sasaran penyertaan 1,500 peserta dan daripada jumlah itu, sebanyak 74 berjaya dilaksanakan melibatkan 4,800 peserta setakat 10 Okt lepas. 

Beliau berkata seiring dengan perkembangan teknologi, IPPTAR telah berjaya melaksanakan 23 kursus berkaitan kecerdasan buatan yang dirancang sepanjang tahun ini membabitkan 1,104 peserta.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top