
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini membincangkan serta bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
“Fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang 2030, memperluas akses grid terbuka serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu, sejajar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Ia bagi memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri turut memaklumkan, mesyuarat berkenaan bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Selain itu, mesyuarat meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara,” katanya.
Beliau menegaskan, Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.

