Nasional
Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Kerajaan kini bersiap siaga bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) terutama penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kesan MTL tahun ini tidak terlalu ketara, persediaan tetap perlu dilakukan.
“Monsun Timur Laut telah mula sampai di sekitar negara-negara ASEAN di sebelah utara dan luruan angin ini akan turun ke Semenanjung Malaysia, khususnya ke Pantai Timur dan Pantai Barat Sarawak dan Sabah.
“Maka kesiapsiagaan kita mesti buat dengan mengadakan koordinasi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan SME Venture @ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, dengan kerjasama MetMalaysia, sistem amaran awal dapat dilaksanakan supaya pemindahan dilakukan lebih awal sebelum paras air meningkat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kerajaan memperuntukkan RM3.205 bilion tahun depan khusus untuk menangani isu banjir, termasuk RM460 juta bagi pengurusan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Yang penting bukan banyak atau sedikit peruntukannya, tetapi keberkesanan pelaksanaan dan penerimaan masyarakat.
“Soal bencana ini tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, sebaliknya ditangani tanpa perbezaan warna,” katanya.
Menurut beliau, semua pihak termasuk penduduk di kawasan berisiko tinggi atau zon merah perlu bekerjasama dengan NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah serta agensi berkaitan bagi memastikan gerak kerja menyelamat dapat dijalankan dengan berkesan.