Namewee direman enam hari bantu siasatan kes bunuh pempengaruh Taiwan

Jenayah

Namewee direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, bulan lalu.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Pengarah filem dan penyanyi, Wee Meng Chee atau Namewee, direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan di ibu negara, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, memaklumkan perintah reman terhadap individu terbabit bermula hari ini hingga Isnin depan.

Katanya, permohonan reman dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi tadi.

Terdahulu, media melaporkan Namewee, 42, hadir ke IPD Dang Wangi malam tadi untuk membuat laporan polis dan memberi keterangan, selepas memaklumkan di Facebook bahawa dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.

Semalam, polis mengklasifikasikan semula kematian pempengaruh Taiwan, Hsien Yun Hsin, 31, yang ditemui dalam bilik air sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata individu terakhir berada bersama mangsa adalah Namewee.

Scroll to Top