Kredit: Facebook KPKT Malaysia
Kredit: Facebook KPKT Malaysia
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan kebebasan media dan sama sekali tidak pernah berniat untuk mengetepikan peranannya.
Beliau berkata hubungan erat serta persefahaman antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan media amat penting bagi memastikan penyampaian dasar serta inisiatif kerajaan dapat difahami dan diterima secara lebih inklusif serta berkesan.
Terdahulu, KPKT mengadakan sesi kudapan pagi bersama beberapa wakil persatuan media utama di pejabat kementerian itu di Putrajaya.
Sesi itu dihadiri oleh Nga, wakil Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Majlis Media Malaysia (MMM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
“Sesi tersebut turut menjadi ruang perbincangan terbuka bagi pertukaran pandangan dan idea ke arah memperkukuh sinergi antara kementerian serta media dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” menurut kenyataan KPKT hari ini.
Antara yang hadir ialah Ketua Setiausaha KPKT Datuk Nor Azman Taib, Presiden NUJM Low Boon Tat dan Setiausaha Agung persatuan itu Teh Athira Mohamed Yusof.
Semalam, Nga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau semasa prapelancaran projek pencahayaan I Lite U di Bukit Bintang baru-baru ini yang menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan pihak media.
Rakaman video acara itu tular di media sosial yang memaparkan Nga menjawab soalan seorang wakil media dengan nada sedikit keras sehingga menerima kecaman pelbagai pihak termasuk NUJM dan Geramm.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

