Nasional

Oleh: Amirul Aiman Hamsuddin
SHAH ALAM: Operator pengeluaran yang ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Jumaat lalu disambung reman enam hari lagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Kes reman disambung sehingga 7 Disember ini. Suspek berusia 44 tahun masih ditahan reman,” katanya ringkas ketika dihubungi, malam ini.
Terdahulu, media melaporkan lelaki yang bekerja di sebuah kilang membuat alat ganti kenderaan di Sungai Choh, merakam video mangsa menggunakan telefon bimbit miliknya.
Ibrahim dilaporkan berkata, polis berjaya menahan suspek dan merampas telefon bimbit serta dadah jenis syabu seberat 0.64 gram.
Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai tiga rekod lampau dadah selain ujian air kencingnya positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

