Nasional

Oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
GERIK: Pasukan penyelamat mengambil masa lebih 24 jam bagi menyelamatkan lelaki Orang Asli yang mengalami kesukaran bergerak akibat dipatuk ular ketika mencari hasil hutan di Kampung Agek, Pos Kemar, di sini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.05 petang semalam dan operasi menyelamat mangsa, Sali Seruliou, 48, tamat pada jam 6 petang hari ini.
Shazlean berkata, helikopter pengangkutan perubatan kecemasan (Medivac) turut digunakan bagi mengambil mangsa biarpun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada awalnya menempuh perjalanan kira-kira 10 jam berjalan di dalam hutan dan mendaki bukit untuk tiba di kedudukan mangsa.
Katanya, pasukan SAR bergerak ke Jeti Awam Pos Kemar pada 5.30 petang Ahad dan berkumpul bersama agensi bantuan lain sebelum mula memasuki hutan pada jam 1.45 pagi tadi untuk ke lokasi mangsa.
“Pasukan SAR tiba di lokasi mangsa pada 11.30 pagi (hari ini) dan memberikan rawatan awal dan pada 12.45 tengah hari, ketua operasi bersama anggota bergerak ke lokasi yang mempunyai talian telefon berjarak empat kilometer dari lokasi mangsa untuk mempersiapkan ‘landing point’ bagi helikopter mendarat.
“Ia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan termasuk mencari kawasan dengan talian telefon untuk memaklumkan kedudukan semasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, operasi itu membabitkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bersama tiga anggota polis, tiga malim gunung dan empat penduduk setempat.
Beliau berkata, lima anggota terbabit SAR yang mengalami cedera ringan susulan jarak perjalanan jauh dan bentuk muka bumi, dihantar ke Pos Kemar untuk rawatan, manakala empat anggota lagi mengiringi mangsa yang diterbangkan ke Hospital Gerik untuk rawatan.

