Nasional
Oleh: Omar Ahmad
KULAI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditahan dipercayai berkhalwat bersama lelaki berusia 20-an di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi, dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Jurucakap JAINJ berkata, pelajar berusia 16 tahun itu masih bersekolah menengah di luar daerah ini, manakala pasangannya adalah lelaki bujang yang bekerja di sebuah kilang.
“Pasangan ini amat mengejutkan kerana membabitkan pelajar sekolah. Ketika operasi, lelaki terbabit terkejut melihat lima penguat kuasa JAINJ, malah pada mulanya hanya membuka sedikit pintu.
“Pemeriksaan penguat kuasa menemukan pelajar itu dalam bilik hotel berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut jurucakap itu, ibu bapa pelajar itu sudah dipanggil untuk proses jaminan.
Operasi yang dijalankan bermula jam 10 malam semalam hingga 3 pagi tadi turut menahan dua lagi pasangan warga asing kerana kesalahan sama.
“Pasangan kedua membabitkan lelaki warga Indonesia berusia 30-an yang bekerja di sebuah kilang, bersama wanita senegara yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerja kantin.
“Manakala pasangan ketiga membabitkan warga Myanmar dalam lingkungan umur 30-an, lelaki bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala pasangannya bekerja di kilang di Senai,” katanya.
Pihaknya menasihatkan ibu bapa, pelajar serta masyarakat supaya lebih peka terhadap cabaran gejala sosial yang semakin membimbangkan, terutama melibatkan generasi muda.