Pemandu e-Panggilan Didakwa Pandu Kereta Secara Berbahaya

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Seorang pemandu e-panggilan yang tular memandu kereta hingga hampir merempuh seorang pejalan kaki, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan itu secara berbahaya.

Chew Tiong Han, 46, didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, pada 6.30 petang, 23 Sept lepas, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 serta butir-butir sabitan akan diendorskan pada lesen memandu yang dipegang dan hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib memohon jaminan RM8,000 terhadap tertuduh manakala peguam Gursharonjit Kaur merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung anak serta bapa yang menghidap penyakit jantung.

Majistret Khairunnisak Hassni menetapkan sebutan kes pada 18 Nov ini dan membenarkan Chew diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, video kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lepas tular melalui aplikasi TikTok memaparkan rakaman berdurasi 32 saat dengan kereta terbabit yang berada di lorong kanan dilihat hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga menyebabkan barang dibawanya terjatuh.

Difahamkan wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top