
Oleh: Ahmad Johari Mohd Ali
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik akaun Tiktok diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memadamkan klip video yang didakwa memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial, dalam tempoh 24 jam.
Peguam mewakili TH, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat perintah itu semalam selepas membenarkan permohonan injunksi sementara sebelah pihak (ex parte), dikemukakan TH terhadap Hidayat Ramli, selaku defendan.
Peguam plaintif itu berkata, pihaknya memohon injunksi berkenaan kerana wujud keadaan mendesak untuk menghentikan penyebaran kandungan berbaur fitnah terhadap TH.
Katanya, defendan didakwa dengan niat jahat memuat naik, menyiarkan dan menghebahkan klip video berkenaan, yang mana kandungannya adalah palsu dan telah menjejaskan reputasi, mencalar imej serta menjatuhkan maruah TH di mata masyarakat.
“Perintah itu turut meliputi larangan terhadap defendan, wakil atau mana-mana individu daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau memuat naik semula klip video bertarikh 17 September lalu,” katanya dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan yang serupa atau mempunyai kesan yang sama.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan pendengaran permohonan injunksi kedua belah pihak (inter-parte) pada 27 November ini.
Dalam afidavit sokongan diikrarkan Ketua Pegawai Perundangan dan Sekretarial Kumpulan TH, Mohd Suhaimi Ismail, menyatakan defendan memuatnaik dan menerbitkan klip bersifat tidak benar dengan menggambarkan pendeposit berpusu-pusu mengeluarkan simpanan masing-masing.
Mohd Suhaimi berkata, ia menjejaskan dan merosakkan kestabilan selain menjatuhkan reputasi TH sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa dan dikenali secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Setakat tarikh 29 September lalu, klip video yang mengandungi pernyataan fitnah telah mendapat lebih daripada 3.7 juta tontonan, 53,500 tanda suka, 7,351 komen, 12,200 simpanan dan dikongsi lebih daripada 52,700 kali oleh pengguna TikTok seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
“Tidak dinafikan, banyak komen negatif atau cacian susulan penerbitan terhadap TH, sekali gus menimbulkan rasa takut sehingga mereka menyatakan hasrat untuk menutup akaun masing-masing.
“Bukan itu saja, keratan rakaman video berkenaan telah dimuat turun oleh banyak pengguna TikTok dan dikongsi melalui aplikasi media sosial yang lain,” katanya.

