Pencemaran Sungai Perak: Aktiviti Perlombongan Diarah Berhenti Sementara – MB

IPOH, 5 Nov (Bernama) — Pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak dekat Gerik telah diarahkan menghentikan operasi untuk sementara waktu, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad. 

“Dia (pihak terbabit) mempunyai lesen (legal). Buat sementara waktu mereka berhenti dahulu sehingga kita berpuas hati (laporan dan kajian).

“Esok kita akan maklum semula (berkaitan perkara itu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan isu air di hulu Sungai Perak dekat Gerik yang bertukar kebiruan minggu lepas, didakwa akibat perlombongan di kawasan berhampiran.

Turut hadir pada majlis hari ini Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Dr Roslan Hussin.

Saarani berkata beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan berkaitan melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Galian, Pejabat Tanah dan Galian termasuk Pegawai Daerah serta Jabatan Kesihatan untuk mengambil perhatian serta menyiasat isu tersebut.

“Jadi saya tak (tidak akan) mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga jabatan-jabatan berkaitan membuat kajian dan ada dapatan mereka. 

“Semalam saya dah telefon Pengarah Jabatan Mineral dan Galian (Perak), esok mereka ada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Puan Halizah (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) Halizah Sipun) dan esok mereka akan membuat laporan taklimat kepada Mesyuarat Exco,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya juga akan mengeluarkan kenyataan selepas Mesyuarat Exco esok. 

Ditanya pemberita sekiranya air sungai itu selamat diminum, Saarani berkata: “Setakat ini dikatakan di peringkat awal ada ikan yang mati, bermakna ada berlaku pencemaran pada hari itu. Esok kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kesihatan (Perak) sekali”.

Susulan laporan air sungai Perak bertukar warna kebiruan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin lepas mengenal pasti tiga aktiviti perlombongan iaitu satu lombong nadir bumi (REE) dan dua lombong bijih timah di bahagian hulu Sungai Perak di Gerik.

Pada 21 Okt, gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer ke utara Kampung Air Ganda, Gerik, yang kelihatan berwarna biru, tular di media sosial.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top