Pengalaman ditahan Israel, nasib rakyat Malaysia di Gaza

Oleh: Halim Mohamed

KUALA LUMPUR: Berita mengenai rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel segera mengembalikan ingatan saya ke peristiwa pada Jun 2010, ketika saya bersama lima lagi sukarelawan Malaysia menaiki kapal kargo Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kapal itu tidak sempat tiba ke destinasi kerana dipintas tentera laut Israel, walaupun ketika itu perairan Gaza sudah jelas di hadapan mata.

Pengalaman itu memberi gambaran nyata tentang apa yang mungkin sedang dilalui tahanan Malaysia yang menyertai konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Bagaimana Israel bertindak?

Israel pada mulanya akan bertindak mengganggu sistem radar dan komunikasi kapal, kemudian menghubungi kapten kapal dengan dakwaan menceroboh kawasan larangan.

Apabila arahan berpatah balik tidak diendahkan, kapal perang dan bot tempur menghampiri, sebelum komando bersenjata naik ke kapal dan mengarahkan kami untuk menyerah diri.

Soal siasat yang menekan mental

Selepas ditunda ke Pelabuhan Ashdod, kami berdepan sesi soal siasat yang panjang.

Tiada kekerasan fizikal digunakan, tetapi suara tinggi, nada tegas dan penggunaan maklumat peribadi yang lengkap di tangan pegawai mereka cukup menguji untuk memberi tekanan mental.

Pada ketika itu saya benar-benar menyedari ujian yang paling besar bukanlah fizikal, tetapi dari segi psikologi.

Harapan diplomasi

Bagi sukarelawan dari negara lain, kehadiran diplomat mereka memberi perlindungan segera.

Ada yang dibebaskan hanya dalam masa sehari, namun bagi kami rakyat Malaysia, ketiadaan hubungan diplomatik dengan Israel menyebabkan jalan keluar jauh lebih rumit.

Kami terus ditahan, dibawa ke pusat tahanan dan ditempatkan bersendirian dalam sel tahanan.

Dalam kesunyian sel asing, perasaan rindu terhadap keluarga dan ketidakpastian masa depan begitu menghimpit jiwa.

Ketika ditahan, kami juga didesak menandatangani dokumen dalam bahasa Ibrani, yang jelas berisiko tinggi jika dituruti dan mujur kami enggan berbuat demikian.

Beberapa hari kemudian, muncul bantuan daripada sebuah negara jiran ASEAN yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Atas semangat serantau, diplomat mereka tampil menjadi penghubung, memberi nasihat dan akhirnya membuka jalan kepada pembebasan kami dengan bantuan kerajaan Jordan.

Pengalaman itu mengajar saya bahawa rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel pasti berdepan cabaran mental yang sangat berat, lebih daripada fizikal.

Mereka juga akan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan diplomasi serantau dan antarabangsa kerana Malaysia tidak mempunyai saluran rasmi dengan Israel.

Di sinilah pentingnya jaringan negara ketiga dan sokongan rakan strategik dalam memastikan tahanan kita tidak terpinggir.

Doa buat mereka yang kini menjadi tahanan

Doa saya bersama mereka yang kini berada dalam tahanan.

Saya memahami betapa getirnya keadaan itu, tetapi juga percaya dengan kepimpinan kerajaan Malaysia, doa rakyat, sokongan antarabangsa dan semangat perjuangan, mereka akan menemui jalan keluar.

Semoga ketabahan mereka menjadi inspirasi untuk kita semua agar tidak berhenti menyuarakan ketidakadilan yang menimpa rakyat Palestin.

Scroll to Top