Pengantin Diraja, Raja Muda Selangor, Datin Paduka diraikan lebih 12,000 rakyat

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz hadiri Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam - FOTO NSTP
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz hadiri Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam – FOTO NSTP

Oleh: Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz diraikan lebih 12,000 rakyat jelata di Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang bermula jam 2 petang hingga 12 malam tadi.

Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja ini adalah kesinambungan Istiadat Persandingan Diraja baginda berdua dengan penuh tradisi di Istana Alam Shah, Klang yang disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Pada malam ini, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini berkenan berangkat ke majlis berkenaan pada 9 malam itu diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Keberangkatan tiba pengantin diraja disambut oleh pemimpin negeri dan rakyat jelata dengan paluan kompang dari pasukan kompang diraja serta persembahan Silat Cekak Hanafi.

Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat dimulakan dengan bacaan doa daripada Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Miszairi Sitiris.

Tengku Amir Shah, Datuk Paduka Seri serta rakyat jelata turut dihidangkan dengan persembahan kebudayaan daripada Orang Asli Mah Meri dan Tarian Zapin Nikah Kahwin daripada pasukan kanak-kanak bawah seliaan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor serta pelbagai persembahan penyanyi tanah air

Terdahulu, di sebelah petang baginda berdua berkenan menyertai pelbagai permainan tradisional bersama rakyat dalam Program Sukan Rakyat bersempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat.

Sebaik tiba, baginda berdua berkenan menyempurnakan gimik perasmian menerusi permainan baling tin sebelum menyaksikan perlawanan bola sepak berkain pelikat, perlumbaan kelereng dan galah panjang.

Baginda berdua turut berkenan menyertai permainan congkak dan batu seremban, menyaksikan permainan dam haji sambil beramah mesra dengan rakyat khususnya kanak-kanak.

Pada 2 Oktober lalu, Istiadat Pernikahan Diraja di antara Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah Klang.

Scroll to Top