Pengawal keselamatan didakwa cabul anak tiri

Mahkamah

Foto hiasan

Oleh: Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia lapan tahun, tujuh tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun (ketika kejadian) bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 10 malam hingga jam 6 pagi di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai pada penghujung Disember 2018.

Oleh itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memaklumkan kepada mahkamah supaya mengguna pakai jaminan sama terhadap tertuduh yang sebelum ini pernah dituduh atas pertuduhan sama terhadap mangsa lain.

Mahkamah kemudian bersetuju dengan membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 sebelum ini diguna pakai selain mengekalkan tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport.

Sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 23 Oktober ini.

Scroll to Top