Pengurus penyelenggaraan maut terjatuh dari bumbung setinggi 6.37 meter

Nasional

Oleh: Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Seorang pengurus penyelenggaraan dilaporkan maut selepas terjatuh dari bumbung setinggi 6.37 meter (m) dalam kejadian di sebuah premis pembuatan, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang sedang bekerja di situ dikatakan telah terpijak bumbung lut sinar yang sudah lama dan rapuh.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, susulan itu mangsa yang tidak menyedari keadaan berkenaan dikatakan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ekoran kematian mangsa, JKKP mengeluarkan notis larangan untuk menghentikan serta merta semua kerja di tempat tinggi terutamanya di kawasan bumbung sehingga siasatan lengkap dijalankan.

“Majikan juga telah diarahkan untuk melaksanakan siasatan dalaman, mengenal pasti punca kejadian serta mengemukakan langkah penambahbaikan kepada jabatan.

“Pihak JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian,” katanya.

Tegasnya, tindakan perundangan akan diambil jika berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak-pihak yang terbabit.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang gagal mematuhi peruntukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Scroll to Top