Peniaga dikompaun RM250 kerana gantung pemetik api dalam kedai untuk perokok

Nasional

Oleh: Nor Fazlina Abdul Rahim

KOTA BHARU: Seorang peniaga di medan selera di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV dikenakan kompaun RM250 oleh Jabatan Kesihatan menerusi operasi malam tadi kerana menggantung pemetik api dalam premis bagi kemudahan perokok.

Peniaga berusia 42 tahun itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 18(1) (b) iaitu menyediakan apa-apa kelengkapan atau kemudahan merokok bagi menggalakkan mana-mana orang untuk merokok.

Peniaga itu mendakwa, dia tidak tahu tindakannya menggantung pemetik api untuk kegunaan perokok menjadi kesalahan.

“Saya ingat hanya merokok di kedai makan dan mempamerkan rokok sahaja menjadi kesalahan, namun saya tidak menyangka menyediakan kemudahan untuk perokok juga menjadi kesalahan.

“Namun, kompaun yang julung kali saya terima ini akan menjadi pengajaran kepada saya supaya sentiasa beringat selepas ini.


Sebelum ini saya tidak menggantung pemetik api ini, namun ramai pengunjung datang meminta untuk meminjam tanpa membeli.

“Disebabkan itu saya menggantung supaya mereka (pengunjung) tidak sesuka hati menggunakan pemetik api yang baharu untuk dijual, namun saya sendiri tidak menyangka ia adalah kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) sempena Penguatkuasaan Sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober lalu.

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan mengeluarkan 11,784 notis kompaun bagi pelbagai kesalahan dibawah Akta 852 sejak Oktober tahun lalu sehingga bulan lalu dengan kebanyakannya membabitkan kesalahan merokok di kawasan larangan.

Scroll to Top