Oleh: Omar Ahmad
JOHOR BAHRU: Penolong Pegawai Penilaian Majlis Daerah Labis berdepan 24 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu elaun kerja lebih masa bagi tugasan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjumlah RM17,548.80, tiga tahun lalu.
Muhammad Fakhrurazie Abd Razak, 32, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhrurazie yang berkhidmat di Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah Labis menggunakan dengan niat memperdaya iaitu borang tuntutan kerja lebih masa bagi tugasan PRU15 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM17,548.80.
Kesalahan itu dilakukan atas nama dan butiran lapan individu berbeza tanpa pengetahuan individu berkenaan dari Oktober, November dan Disember 2022 di Majlis Daerah Labis.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhd Faizul Kamaro Zaman memberitahu mahkamah pihaknya tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak dibenarkan jamin kecuali dengan kebenaran mahkamah.
Peguam tertuduh, T Vijaya Sandran bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan RM7,000 kerana tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang sedang mengandung empat bulan.
“Tertuduh bekerja di Majlis Daerah Labis selama tujuh tahun dan mempunyai alamat tetap di kawasan perumahan berjarak hanya satu kilometer dari tempat kerja. Selain itu tertuduh juga telah beri kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin kemudian turut menetapkan tarikh 30 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.