Penoreh getah didakwa cabul anak saudara lelaki

Penoreh getah dituduh cabul anak saudara bulan lalu. – Foto NSTP

Oleh: Alias Abd Rani

MUAR: Seorang penoreh getah yang pernah dituduh berkaitan kes seksual di Melaka, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap anak saudara lelaki ketika menyambut perayaan, bulan lalu.

Tertuduh berusia berusia 32 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai bapa saudara didakwa melakukan perbuatan itu, terhadap mangsa berusia 17 tahun di ruang tamu, sebuah rumah di Paloh, Kluang, pada jam 3.30 pagi, 26 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh bersama ahli keluarga ke rumah terbabit untuk menyambut Deepavali dengan mereka tidur di ruang tamu beramai-ramai.

Ketika semua ahli keluarga membabitkan 16 orang termasuk mangsa sedang nyenyak tidur di ruang tamu, tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji terhadap mangsa.

Mangsa menyedari kejadian itu kemudiannya menepis tangan tertuduh sebelum menceritakan kepada ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh diwakili peguam R K Bala.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin serta memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 7 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.

Scroll to Top