Nasional
Oleh: Fahmy A Rosli
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan penutupan mana-mana sekolah atau institusi pendidikan disebabkan jangkitan influenza tidak dibuat semata-mata kerana bilangan kes, sebaliknya penilaian dibuat berdasarkan risiko kesihatan awam oleh Pusat Kesihatan daerah (PKD).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, untuk beberapa faktor perlu diambil kira sebelum penutupan sesebuah premis dikuatkuasakan.
“Antara faktor kita ambil kira adalah kadar serangan penyakit dalam kalangan murid, kadar ketidakhadiran murid dan guru, bukti penularan aktif dalam komuniti dan juga keupayaan sekolah melaksanakan langkah-langkah kawalan.
“Semua faktor itu perlu diambil kira sekali gus,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung apakah nilai ambang untuk membenarkan tempat dilakukan penutupan dan bagaimana koordinasi antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk pastikan wabak tidak merebak seluruh negara.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefy berkata, penutupan premis termasuk sekolah yang terbabit dengan peningkatan jangkitan influeza tidak mengguna pakai Seksyen 18 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelasnya, ini kerana jangkitan influeza tidak memenuhi tafsiran penyakit berjangkit mengikut Seksyen 2 di bawah akta sama.
“Namun begitu, pendekatan kawalan termasuk syor bagi penutupan sekolah boleh dilaksanakan melalui perbincangan kerjasama dengan pihak kesihatan,” katanya.