Pergerakan air bawah tanah dipercayai punca tanah runtuh di Jalan Gua Musang-Lojing

Nasional

Choon Foo meninjau lokasi kejadian jalan runtuh di KM 45 Jalan Gua Musang-Lojing. – Foto NSTP

Oleh: Paya Linda Yahya

GUA MUSANG: Pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlakunya runtuhan jalan di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam tadi itu, sebahagian jalan di laluan berkenaan runtuh sepenuhnya sehingga ditutup kepada semua kenderaan termasuk motosikal.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah yang boleh menyebabkan berlaku runtuhan susulan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlaku kejadian jalan runtuh itu.

“Dua hari lalu sudah berlaku rekahan kecil pada laluan terbabit dan pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat pemantauan di lokasi kejadian.

“Namun semalam, pihak bomba menerima aduan orang awam menyatakan runtuhan sudah berlaku di lokasi terbabit dan mendapati jalan ini tidak lagi selamat untuk dilalui kepada semua kenderaan termasuk motosikal.

“Jalan ini akan ditutup sehingga kerja baik pulih selesai dilakukan oleh pihak berwajib,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima tentang makluman kejadian kira-kira jam 11.30 malam dan tiba di lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

“Kerana jalan tidak selamat di gunakan, laluan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan,” katanya.

Scroll to Top