KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Pengukuhan pemantauan aktiviti perlombongan, khususnya dalam aspek pengurusan sisa, adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) baharu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi memastikan aktiviti perlombongan dijalankan secara lebih teratur dan lestari.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menanggung tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap pengusaha perlombongan mematuhi peraturan ketat dalam menguruskan sisa perlombongan bagi mengelak pencemaran.
“Jadi kita nak buat pemantauan, ini satu daripada SOP terbaharu, kita akan tekankan dari segi bagaimana mereka menguruskan sisa dalam (aktiviti) perlombongan.
“Itu wajib dilakukan. Kalau ada pihak yang tidak dapat menguruskan sisa, terutama menggunakan leaching water, kita perlu pastikan ini menjadi keperluan mandatori,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menyiasat kejadian pencemaran di Sungai Perak yang tular baru-baru ini.
“Saya sentiasa tekankan isu perlombongan kerana kita masih belajar dan menyusun SOP untuk pelabur yang datang menjalankan perlombongan di kawasan kita.
“…Berhubung kejadian di Sungai Perak, JMG dan JAS sedang menyiasat punca pencemaran tersebut,” katanya.
Pada 21 Okt lepas, gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer ke utara Kampung Air Ganda, Gerik, Perak yang kelihatan berwarna biru, tular di media sosial.
Semalam, Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dilaporkan berkata jabatan itu mengenal pasti tiga aktiviti perlombongan termasuk sebuah lombong nadir bumi (REE) dan dua lombong bijih timah di bahagian hulu Sungai Perak di Gerik, susulan laporan air sungai itu bertukar warna kebiruan baru-baru ini.
Beliau berkata sampel air di kawasan berkenaan telah diambil untuk siasatan dan pihaknya menunggu keputusan analisis daripada JMG.
Selain itu, Johari berkata Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 tahun hadapan dan draf RUU itu sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara.
“Dengan berkuat kuasa RUU ini kelak ia akan menjadi panduan berasaskan perundangan yang mengarusperdanakan agenda perubahan iklim seperti tindakan mitigasi ataupun adaptasi atau kedua-duanya sekali.
“RUU ini akan menjadi instrumen perundangan bagi menangani isu perubahan iklim melalui pelaksanaan dasar pengawalseliaan serta mekanisme pelaporan menyeluruh bagi memastikan pembangunan negara kekal mampan dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

