Permohonan Penganjuran WWC Dalam Proses Semakan Pesuruhajaya Sukan – Hannah

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) — Penganjur Warzone World Championship (WWC) telah menghantar permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa itu semalam.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata PJS akan memproses permohonan berkenaan seperti biasa sebagaimana penganjur lain.

“Kita ada had (tempoh) 30 hari untuk proses dan selepas itu kita melihat sama ada mereka dapat kebenaran daripada persatuan sukan kebangsaan mereka.

“Kita juga lihat sama ada mereka memenuhi ciri-ciri keselamatan serta tidak boleh melibatkan kanak-kanak bawah 15 tahun selepas pengumuman hari ini,” katanya kepada pemberita di Menara Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Hannah berkata kejohanan sukan tempur itu turut melibatkan penyertaan selebriti dari luar negara dan pihaknya akan melakukan semakan silang termasuk bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen.

Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan Arrifin Mohd Ghani berkata pihaknya akan meneliti semua dokumen berkaitan serta menyemak status kebenaran sebelum mempertimbangkan permohonan berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata sejurus tular berhubung aksi kanak-kanak dalam sidang media kejohanan berkenaan, pihaknya telah mengenakan sekatan terhadap WWC selain segera mendapatkan penjelasan daripada penganjur.

“Penjelasan yang diberikan adalah kerana ‘mereka mahu menjual tiket’. Bagi kami, eksploitasi kanak-kanak sama sekali tidak boleh diterima. Walau apa pun anda mahu buat untuk jual tiket, seni mempertahankan diri mesti berasaskan rasa hormat.

“Tak boleh nak buat cara macam dalam WWE (World Wrestling Entertainment). Kami tidak membenarkan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, tular video sidang media WWC yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu, bergaduh ketika sesi pengenalan sehingga mencetuskan kecaman pelbagai pihak kerana dianggap tidak sesuai dan seolah-olah mempromosikan budaya keganasan. 

Susulan itu, banyak pihak menggesa pihak berkuasa serta agensi berkaitan menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur kejohanan tersebut.

KBS kemudian mengesahkan bahawa kejohanan WWC tidak mendapat kelulusan daripada pihaknya. 

Sementara itu, mengenai peruntukan RM15 juta yang akan diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hannah berkata perbelanjaannya akan dipantau bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“RM15 juta itu memang untuk proses kelayakan Piala Asia. Ia mempunyai tujuan yang sangat khusus untuk itu,” katanya.

Peruntukan RM15 juta kepada FAM diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top