LONDON: Eberechi Eze meledak gol sulung bersama Arsenal ketika The Gunners menewaskan Port Vale 2-0 untuk mara ke pusingan keempat Piala Liga bersama Manchester City, Tottenham dan Newcastle, awal pagi tadi.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memanfaatkan kekuatan skuad simpanannya apabila melakukan sembilan pertukaran daripada aksi seri 1-1 menentang Manchester City hujung minggu lalu, termasuk menyenaraikan Eze, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli.
Eze, yang berpindah dari Crystal Palace bulan lalu dengan nilai perpindahan berpotensi mencecah £68 juta (RM384 juta), pantas menyerlah apabila membuka tirai jaringan pada minit kelapan hasil lorongan Myles Lewis-Skelly.
“Saya menunggu lama untuk menjaringkan gol buat kelab ini dan yang pertama memang amat istimewa,” kata Eze, yang pernah dilepaskan Arsenal ketika remaja.
Arsenal gagal menambah jaringan meskipun menguasai permainan, manakala Port Vale hampir menyamakan kedudukan menerusi Devante Cole, anak bekas penyerang Manchester United, Andy Cole yang percubaannya sedikit tersasar melepasi palang.
Leandro Trossard akhirnya memastikan kemenangan mutlak Arsenal dengan rembatan kencang tepat ke penjuru bawah gawang lima minit sebelum tamat.
Di Stadium Etihad, Phil Foden menjadi watak utama buat Manchester City apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu umpanan gol ketika menundukkan Huddersfield 2-0.
Foden menunjukkan tanda-tanda kembali ke prestasi terbaik yang pernah menjadikannya Pemain Terbaik EPL dua musim lalu, apabila melakukan rembatan leret pada minit ke-18 untuk meletakkan City di depan.
Pengurus Pep Guardiola merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Erling Haaland dengan melakukan sembilan pertukaran.
Namun sentuhan penyudah berbisa Haaland jelas dirindui sebelum Savinho melengkapkan kemenangan menerusi hantaran Foden 15 minit sebelum tamat.