Pindaan Akta Pengambil Tanah 1960 sedang diteliti JKPTG – Johari Ghani

Nasional

Oleh: Mohd Nasaruddin Parzi

KUALA LUMPUR: Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sedang dalam tindakan untuk meneliti pindaan ke atas Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) membabitkan ‘award’ pampasan, isu pengeluaran hak milik sambungan dan pembaharuan prosedur bagi rujukan ke mahkamah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, cadangan penambahbaikan itu akan memberi fokus kepada bayaran pampasan yang setimpal, pengambilan tanah yang memberi manfaat kepada rakyat serta ruang untuk tuntutan pampasan di mahkamah.

“Selaras keperluan semasa dan isu tuntutan mahkamah, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui JKPTG sudah mengambil langkah untuk membuat penambahbaikan ke atas tatakelola dan prosedur pengambilan tanah,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadzil Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan sama ada wujud cadangan meminda Akta 486 dengan pindaan terkini 2021, memandangkan masih wujud kelemahan dalam aspek perlindungan rakyat termasuk tafsiran ‘kepentingan awam’ yang terlalu luas.

Disamping itu, kelewatan bayaran pampasan yang menjejaskan pemilik tanah serta ruang rayuan yang terbatas.

Akta itu banyak kali disentuh dalam perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat sejak kebelakangan ini, susulan keputusan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru di sini, juga dipersoalkan beberapa penduduknya berikutan dakwaan mereka kaedah pengambilan tanah dibuat secara tidak adil dan kini, kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa awal bulan ini turut mendedahkan keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021, turut dibuat secara tergesa-gesa iaitu dalam tempoh tiga hari.

ASEAN capai kejayaan besar, Timor-Leste diterima sebagai anggota ke-11

Rakyat Malaysia menetap, berkunjung ke UK diminta patuhi nasihat Wisma Putra – Mohamad

Scroll to Top