PKR umum 10 calon bertanding PRN Sabah

Politik

Oleh: Olivia Miwil

KOTA KINABALU: Anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, diumumkan sebagai antara 10 calon daripada PKR yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan perkara itu berkata, Datuk Yamani Hafez Musa yang juga bekas Ahli Parlimen Sipitang, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.

Calon lain ialah penyandang kerusi DUN Inanam, Datuk Peto Galim dan bekas Ahli Parlimen Putatan, Datuk Awang Husaini Sahari, untuk kerusi DUN Petagas.

Seterusnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee, dinamakan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Api-Api yang disandang oleh Datuk Seri Christina Liew.

Bekas ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Jamawi Jaafar serta Datuk George Hiew, masing-masing dinamakan sebagai calon kerusi DUN Melalap dan Karamunting.

Jamawi adalah bekas Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, manakala Hiew pula penyandang kerusi DUN Karamunting.

Muka baharu yang juga bekas Ketua Setiausaha di beberapa kementerian Persekutuan, Datuk Ruji Ubi, dipilih bertanding di kerusi DUN Merotai.

Selain itu bekas guru, Rufinah Pengeran, dinamakan sebagai calon kerusi DUN Tulid, Abdul Said Pimping (Gum-Gum) dan Romansa Lamin (Segama).

Hadir sama pada majlis, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Scroll to Top