Nasional

Oleh: Zanariah Abd Mutalib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga tokoh sarjana sejarah tempatan, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam, yang kembali ke Rahmatullah petang tadi.
Beliau berkata, negara ternyata kehilangan seorang sarjana besar yang sepanjang hayatnya menegakkan keteguhan ilmu dan menumpahkan seluruh bakti dalam memperkasa jati diri bangsa melalui sejarah.
“Mendoakan keluarganya diberi ketabahan dan kecekalan yang tinggi serta dikurniakan rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya di laman sosial Facebook.
Ahmat adalah seorang sejarawan yang giat menulis dan membicarakan mengenai sejarah tanah air sejak 1970-an.
Allahyarham menghasilkan tidak kurang daripada 16 buku bersifat ilmiah yang mencakupi sejarah wilayah Indonesia dan Malaysia.
Antara karya yang dihasilkan Allahyarham adalah Tawarikh Hikayat Melayu atau Sulalat u’s-Salatin yakni Pituturan Segala Raja-raja, The New and Correct Date of the Terengganu Inscription, Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua) dan Hikayat Raja Pasai.

