Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Inspektor Sheila

Sheila Sharon Steven Kumar (Gambar fail)

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Polis membuka kertas siasatan terhadap “Inspektor Sheila” kerana didakwa memperlekeh anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga asing yang memandu tanpa lesen di Jalan Ipoh di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, wanita berkenaan telah menuduh anggota yang bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota terbabit mengugut warga asing tersebut.

“Ketika anggota polis sedang berurusan dengan pemandu berkenaan, seorang wanita yang dikenali sebagai Sheila, tiba-tiba datang dari arah belakang menuduh anggota polis yang bertugas mengugut pemandu warga Pakistan berusia 34 tahun itu.

“Anggota polis berkenaan telah membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top