
Oleh: Nor Fazlina Abdul Rahim
KOTA BHARU: Polis Kelantan merobohkan dua lagi jeti pangkalan haram menjadikan keseluruhan empat jeti dirobohkan setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perobohan dua jeti yang terbaru adalah di Tanah Merah.
Katanya, perobohan itu dilakukan kelmarin dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan.
“Dua jeti pangkalan haram berkenaan dikenali sebagai Dua Riya dan Nusi. Setakat ini empat jeti sudah dirobohkan termasuk MCA dan Gergaji di Rantau Panjang.
“Kerja-kerja merobohkan pangkalan haram ini akan terus dilakukan dari masa ke masa,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, perobohan 216 jeti pangkalan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand dijangka selesai secara keseluruhan dalam tempoh dua bulan.

