Nasional
Oleh: Amirul Aiman Hamsuddin
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga tempatan yang mengamuk dan mahu menyerang orang awam dengan membawa pisau pemotong daging di Taman Jasa Ijok, Bestari Jaya di Kuala Selangor ditahan polis, semalam.
Tindakan suspek itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6 petang.
Beliau berkata, polis kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati suspek mengamuk sambil menjerit dan memegang senjata tajam.
“Kami bertindak menahan lelaki terbabit dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian.
“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Polis masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di laman sosial video suspek memegang senjata tajam sambil mengancam menyerang orang ramai.
Video berdurasi 32 saat itu turut memaparkan empat anggota polis mengarahkan suspek untuk berhenti selain melepaskan satu das tembakan sebagai amaran.