
Oleh: Omar Ahmad
JOHOR BAHRU: Polis Johor membongkar sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dengan rampasan seberat 115.09 kilogram (kg) bernilai RM11.40 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata serbuan dijalankan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam dan kelmarin, yang turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun berperanan sebagai penjaga stor.
“Pemeriksaan di rumah berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya 17 peket berisi dadah disyaki pil ekstasi (25.24kg), 22 peket plastik disyaki syabu (23.10kg), 13 peket plastik disyaki serbuk MDMA (22.43kg) dan 13 peket plastik disyaki ketamin (13.40 kg).
“Turut dirampas 300 peket plastik disyaki ketamin (11.51kg), sebanyak 6,000 papan keranjang timah dadah disyaki pil eramin ‘five’ (19.41kg) dan pelbagai memproses dadah. Jumlah keseluruhan dadah dirampas sebanyak 115.09kg dengan nilai pasaran dadah dianggarkan bernilai RM11.40 juta,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan modus operandi menjadikan rumah teres berpagar serta berpengawal sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan.
Sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000 turut disita.
“Rumah itu dijadikan stor simpanan tetapi turut digunakan juga untuk proses dadah. Dadah serbuk ini dijadikan cecair dan dijual sebagai minuman di pusat hiburan,” jelasnya.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 November depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

