Nasional

Oleh: Sharifah Mahsinah Abdullah
KOTA BHARU: Bekas pemain bola sepak Kelantan yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki Malaysia di bandar Sungai Golok malam kelmarin, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penjaga gol pasukan negeri ini sebanyak dua kali iaitu pada 2014 dan 2019.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 31 tahun itu pernah bermain untuk skuad Piala Presiden Kelantan pada 2014 dan kemudian menyertai pasukan senior Kelantan FC pada 2019.
Beliau berkata, polis di Kelantan tidak terbabit secara langsung dalam siasatan kes ini kerana suspek adalah warganegara Thailand.
“Apa yang saya boleh sahkan ialah saya mendengar khabar angin dia menyerah diri kepada polis Thailand malam tadi.
“Namun, kami masih belum menerima laporan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai penangkapannya,” katanya kepada NST hari ini.
Berita penangkapan suspek oleh polis Thailand tular di media sosial sejak malam tadi.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Thailand berhubung perkara itu.
Difahamkan, selain bersama pasukan Kelantan, suspek juga pernah bermain sebagai penjaga gol untuk pasukan Yala United FC dan PT Prachuap FC dalam Liga Thailand.
Mohd Yusoff berkata, kes ini akan ditangani sepenuhnya oleh pihak berkuasa Thailand kerana kejadian berlaku dalam bidang kuasa mereka.

