
Oleh: Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 30-an terkejut apabila rumah dan keretanya terdapat kesan tembakan.
Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi tadi, dekat Bandar Seremban Selatan, di sini, ketika mangsa sedang tidur di dalam rumah.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa hanya menyedari rumahnya diserang, selepas ternampak kesan tembakan pada struktur rumah dan kereta, pada waktu siang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi MERS 999 pada jam 1.53 tengah hari tadi, daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu.
“Anggota polis bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban terima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian kesan tembakan pada kereta dan rumah.
“Hasil siasatan di tempat kejadian, suspek dipercayai melepaskan tembakan dari luar rumah menggunakan senjata api disyaki jenis semi-auto,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azahar berkata, pemeriksaan lanjut terdapat kelongsong peluru ditemui di jalan di hadapan rumah dan lima kesan tembakan pada dinding, bingkai pintu, pintu, siling dan cermin kereta.
“Pihak kami masih menjalankan siasatan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes ini dan sedang giat mengenalpasti suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku,” katanya.
Justeru beliau menegaskan, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana yang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Seremban 066033222,” katanya.

