GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) — Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong di sini malam tadi, yang kejadiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata semua lelaki tempatan berusia 25 hingga 28 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri berkenaan malam tadi.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 7.30 malam melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan dan punca kejadian dipercayai akibat pertikaian urusan jual beli sebuah kereta antara dua pihak yang terlibat.
“Siasatan polis berjaya menahan enam lelaki itu, empat daripada mereka dipercayai suspek utama direman tiga hari sehingga 18 Dis manakala dua lagi direman sehari hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Terdahulu, tular video berdurasi 2.24 minit memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh termasuk ada yang menggunakan topi keledar untuk memukul antara satu sama lain di tepi jalan, malah turut merosakkan sebuah kereta dipercayai milik seorang daripada mereka.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
KATA KUNCI
BERITA BERKAITAN
LAGI BERITA

