Polis Tahan Lelaki Bersilat Di Kubur

ACP Bahrin Mohd Noh

KLUANG, 25 Nov (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki tempatan susulan video tular memaparkan dirinya melakukan pergerakan silat sambil memakai topi keledar di Tanah Perkuburan Kampung Melayu, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pasukan dari Balai Polis Sri Lalang semalam kira-kira 1 tengah hari di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang di sini.

“Tular video berdurasi 27 saat itu dirakam orang awam pada 21 Nov lalu sebelum dimuat naik ke media sosial melalui laman Facebook “This Is Johor”, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan kegusaran masyarakat berhubung adab serta sensitiviti di kawasan perkuburan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah untuk diri sendiri, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah Kluang menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut meminta masyarakat memberi ruang kepada penguat kuasa agama untuk menjalankan siasatan.

–BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top