Polis Thailand rampas 1.8 juta pil meth bernilai RM14 juta cuba diseludup ke Malaysia

Oleh: Sharifah Mahsinah Abdullah

KOTA BHARU: Pihak berkuasa Thailand menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup 1.8 juta pil methamphetamine bernilai kira-kira RM14 juta ke Malaysia dalam serbuan di daerah Tak Bai, pada 1 November lalu.

Komander Tentera Wilayah Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, rampasan itu dilakukan berhampiran sebuah rumah di Tambon Nanak, berdekatan sempadan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Beliau berkata, sepasukan khas penyiasatan narkotik polis wilayah Narathiwat, melancarkan operasi di kawasan hutan kecil pada kira-kira jam 8.40 malam (waktu Thailand) selepas menerima maklumat risikan mengenai kegiatan penyimpanan dan penyeludupan dadah di lokasi berkenaan.

“Polis menerima maklumat bahawa satu rangkaian pengedaran dadah menggunakan kawasan hutan kecil di Tambon Nanak sebagai tempat simpanan sementara sebelum menyeludup dadah ke Malaysia.

“Ketika serbuan, dua lelaki warga Thailand ditemui di lokasi itu bersama beberapa beg plastik hitam berisi pil methamphetamine (kategori 1) yang disembunyikan dalam hutan,” katanya.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan bersama 1.8 juta pil methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM14 juta.

Menurut Naratip, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dipercayai ahli rangkaian pengedaran dadah berpangkalan di Tachilek, Myanmar, yang menggunakan kaedah penghantaran bungkusan untuk menyeludup dadah ke Malaysia.

“Polis Thailand memantau aktiviti mereka melalui risikan teknikal dan pengumpulan maklumat, yang mengesahkan mereka menyimpan dadah di kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, semua dadah yang dirampas bersama dua suspek itu diserahkan kepada Pusat Kawalan dan Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah Narathiwat (NSCC) untuk siasatan lanjut.

“Polis kini sedang mengenal pasti anggota sindiket lain termasuk dalang utama di sebalik operasi ini,” katanya.

Scroll to Top