Port ‘cari makan’ warga asing di Cameron Highlands digempur

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

CAMERON HIGHLANDS: Beberapa premis perniagaan dan kebun sayur yang didominasi warga asing sejak beberapa tahun lalu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi mengejut di sini, hari ini.

Ops Gempur yang dijalankan serentak di empat zon utama itu menyasarkan bangunan komersial, tapak pembinaan serta pusat pengumpulan sayur dan buah-buahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam yang tidak selesa dengan kebanjiran warga asing sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

“Sebenarnya kita merancang operasi ini sejak sebulan yang lepas kerana kita terima banyak aduan daripada orang awam dan juga melalui risikan kita.

“Kalau ikut, operasi ini satu operasi yang besar dan kita melibatkan pegawai-pegawai imigresen daripada negeri-negeri yang berdekatan. Kita gemblengkan tenaga yang ada di dalam kerana kawasan Cameron ini agak luas dan menyebabkan kita memerlukan tenaga yang ramai untuk melaksanakan operasi ini,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau operasi berkenaan.

Jelasnya, seramai 1,886 warga asing diperiksa dengan 468 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan.

Warga Myanmar menjadi tangkapan tertinggi seramai 175 orang, diikuti Bangladesh (174), Indonesia (67), Nepal (20) dan lain-lain.

“Berdasarkan kepada kes-kes yang kita dapatkan hari ini, banyak juga yang kita kenal pasti adalah terlibat dengan pas yang palsu. Kita akan siasat lanjut siapa dalang disebaliknya, termasuk juga mungkin kita nak tengok siapa ejen yang mereka berurusan.

“Dan sebahagiannya kemungkinan kita akan semak ketulenan pas-pas yang mereka ada. Sekiranya pas yang ada itu tulen dan sahih, kita akan release (lepaskan) mereka,” ujarnya.

Tambah Zakaria, sebilangan warga asing beranggapan kawasan berbukit seperti Cameron Highlands sukar disentuh pihak berkuasa.

“Mereka rasa mungkin penguat kuasa agak sukar untuk mengejar mereka dan sebagainya. Jadi itu mungkin juga menjadi faktor. Kita tidak berkompromi dalam sebarang usaha membawa masuk pendatang-pendatang asing tanpa izin ke negara kita,” tegasnya.

Berdasarkan pemerhatian Buletin TV3, pelbagai helah dilakukan warga asing bagi meloloskan diri, termasuk bersembunyi di dalam kereta dan tandas.

Tidak kurang juga yang melarikan diri sehingga cedera, sebelum diberikan rawatan oleh pasukan paramedik JIM.

Scroll to Top