PPS SK Bukit Payong dinaiki banjir, mangsa dipindahkan ke lokasi pemindahan berhampiran

Nasional

Mangsa banjir dari PPS SK Bukit Payong yang dinaiki banjir ditempatkan dipindahkan ke Dewan Sivik Wakaf Tapai. – Foto ihsan penduduk

Oleh: Nazdy Harun

KUALA TERENGGANU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung, dekat Marang, di sini terpaksa ditutup selepas ia turut ditenggelami banjir.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mazura Ngah Abd Manan berkata, keadaan itu memaksa 538 mangsa daripada 128 keluarga yang ditempatkan di premis itu sejak ia dibuka 26 November lalu dipindahkan ke lokasi lain.

“Sehingga kini, kerja pemindahan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang mengalihkan baki mangsa secara berperingkat ke PPS berhampiran bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Mangsa banjir, Che Maznah Mustafa, 57, mengakui gusar apabila dimaklumkan mereka perlu dipindahkan sekali lagi.

“Letih belum hilang namun sekali lagi terpaksa berpindah… apa pun kami akur kerana ia melibatkan keselamatan dan bukan saya seorang yang terbabit malah semua penghuni PPS,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nur Halimatul Nor Azlan, 31, yang masih berpantang selepas bersalin turut berdepan situasi sukar apabila terpaksa berpindah bersama bayinya yang masih kecil.

“Kerana keselamatan saya ikut saja arahan pihak berkuasa,” katanya

Scroll to Top