PRN Sabah: 1.7 juta pengundi bakal mengundi esok

Oleh: Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

KOTA KINABALU: Seramai 1,742,934 orang pengundi bakal mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, pihaknya berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

“Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi yang diwartakan.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan kerani pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Shahril memaklumkan, seramai 28,533 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian manakala sebanyak 882 pusat mengundi serta 3,559 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian esok.

Katanya, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti, calon bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang slogan kempen membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi juga tidak dibenarkan.

“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya. Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,” katanya.

Katanya, pengundi dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, hotline SPR di talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Beliau juga mengingatkan pengundi agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

Katanya, majikan turut diingatkan agar membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN Sabah esok, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Khairul Shahril sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media

sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Scroll to Top