PRN Sabah: Calon BN DUN Balung komited tangani isu asas, tubuh pusat aduan

Calon Barisan Nasional kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Erwan Palateh (kiri) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah di Pasar Taman Sawit, Balung. Foto NSTP
Calon Barisan Nasional kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Erwan Palateh (kiri) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah di Pasar Taman Sawit, Balung. Foto NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

TAWAU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Erwan Palateh komited untuk menyelesaikan isu asas yang sekian lama membelenggu penduduk, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Katanya, aspirasi dan visinya adalah jelas iaitu memastikan masalah kritikal seperti gangguan bekalan air, bekalan elektrik tidak stabil, serta keadaan jalan kampung dan kawasan perumahan yang gelap, diberi perhatian segera.

“Bagi saya, sekiranya saya diberi mandat di Balung ini, permasalahan asas adalah keutamaan. Bekalan air yang selalu terputus, gangguan bekalan elektrik, jalan-jalan kampung dan jalan perumahan yang gelap, itu yang saya akan utarakan jika diberi mandat,” katanya ketika ditemui selepas kempen di Pasar Taman Sawit, Balung, baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang lebih seminggu berkempen, pelbagai aduan dan permasalahan disuarakan oleh penduduk, menggambarkan keperluan mendesak untuk penyelesaian segera.

“Sepanjang lebih seminggu berkempen, pelbagai permasalahan diutarakan. Jadi saya akan selesaikan secepat mungkin sekiranya diberi mandat,” katanya.

Justeru, sebagai tawaran utama kepada pengundi, beliau berhasrat menubuhkan pusat aduan di setiap kawasan bagi memudahkan penduduk menyampaikan masalah mereka dengan lebih teratur dan cepat.

“Apa yang saya tawarkan dan utamakan… di setiap kawasan dan tempat ini akan ada pusat-pusat untuk buat aduan, jadi senang orang kampung pergi ke satu tempat untuk mereka luahkan masalah mereka, dan kita cuba utarakan atau selesaikan,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan pengundi, beliau melahirkan rasa syukur apabila sambutan yang diterima sepanjang tempoh kempen amat menggalakkan, meskipun beliau merupakan calon baharu.

Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk bekerja keras dan memimpin demi pembangunan Balung sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat.

“Jika saya diberi mandat, saya akan bekerja dan memimpin untuk pembangunan Balung ini,” tegasnya.

Scroll to Top