
Oleh: Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan lebih fokus dalam melaksanakan pembangunan fizikal dan modal insan sejak lima tahun pemerintahan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membantu rakyat Sabah.
Menurut calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface, ia disebabkan adanya pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang komprehensif dan inklusif bagi membangunkan negeri itu.
“Kalau fizikal itu kami lihat dari segi rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), jalan raya dan bangunan banyak didirikan. Dari segi modal insan pula, kita dapat melihat, GRS menyediakan bantuan kepada anak-anak muda.
“Pelbagai jenis bantuan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan macam-macam lagi yang diberikan.
“Pada saya, pembangunan yang dilakukan oleh GRS kali ini adalah inklusif. Ia bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga secara modal insan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang dikendalikan oleh Safwan Sawi.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Bonaventure bakal ditentang 12 lagi calon yang turut bertanding di kawasan itu.
Menyentuh mengenai isu tiga serangkai iaitu kemudahan elektrik, ketiadaan air dan jalan berlubang yang sering menjadi isu di Sabah, Bonaventure berpandangan, perkara itu merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, GRS turut komited untuk menyelesaikan masalah tiga serangkai berkenaan.
“Contohnya air, kita banyak memilih atau konsesi syarikat air. Jadi, mungkin sudah sampai masanya untuk kita swastakan air di Sabah ini.
“Dari segi elektrik kita banyak menggunakan loji janakuasa bebas (IPP). Mungkin sudah sampai masanya kita bekerjasama dengan Sarawak yang mempunyai Empangan Bakun. Maka, kita akan tenaga (elektrik) yang lebih konsisten dan stabil dari Sarawak untuk Sabah.
“Jadi, kita melihat tiga serangkai ini adalah isu yang diwarisi, namun GRS sudah melihat daripada pandangan lain untuk tidak meneruskan masalah ini, tetapi menyelesaikannya,” katanya.
Dalam pada itu, Bonaventure yang merupakan bekas pensyarah kanan universiti berkata, manifesto dikemukakan oleh GRS kepada pengundi telah dibuat secara terperinci, selain empat rukunnya adalah bagi membantu gabungan itu membentuk strategi bermula dari bawah.
“Itu sebab manifesto kita bawa berbeza daripada manifesto parti lain. Di setiap rukun ini ada pelan strategiknya dan yang ingin kita capai.
“Kebiasaannya manifesto sebelum ini hanya menggariskan satu kenyataan umum tanpa pelan strategik tetapi manifesto GRS, kita ada perancangan dan pelaksanaan,” katanya.
Mengulas mengenai ekonomi biru yang terkandung dalam salah satu rukun iaitu Sabah Forward (Sabah Maju ke Hadapan) dalam manifesto dikemukakan GRS, Bonaventure berkata, ia bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dengan menggunakan kaedah baru.
“Ekonomi biru ini sebenarnya banyak membantu dari segi ekonomi setempat khususnya bagi mereka yang biasa dengan perikanan dan kaedah lama, kita tingkatkan (pendapatan) menggunakan kaedah baru.
“Contohnya dari segi penangkapan ikan tuna. Kalau guna kaedah lama, mungkin agak susah atau mengambil masa lama.
“Jika menggunakan penangkapan menerusi kaedah baru yang dipanggil hook and line (kail dan tali pancing), ia dapat membantu mereka mendapat hasil yang lebih baik,” katanya.

