
Oleh: Safwan Sawi
TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, di sini, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hadir sekitar jam 11.35 pagi, bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, sebelum melangkah masuk ke kawasan sekolah untuk proses semakan daftar pemilih.
Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman membuang undi pada jam 11.43 pagi di Saluran Satu di pusat mengundi berkenaan.
Sejumlah empat saluran mengundi dibuka sejak jam 7.30 pagi dan akan ditutup jam 5.30 petang di pusat mengundi di SK Serusup, di sini.
Terdahulu, seorang lagi calon yang bertanding di kerusi sama turut hadir mengundi di pusat mengundi di sini iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Tiaminah @ Siti Aminah Ele pada jam 8.45 pagi.
Calon lain di DUN Sulaman, Dr. Shahnnon Rizal Thajuddin (BN) selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Tuaran sekitar jam 8.30 pagi.
Sementara itu, calon Warisan, Mokhtar Hussin selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bolong, Tuaran pada jam 8.45 pagi.
Manakala calon dari Parti Impian Sabah (PIS) bagi DUN sama, Pajudin Nordin akan mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka pada jam 2.00 petang.
Proses pengundian di semua pusat mengundi di kawasan Sulaman berjalan lancar dengan kehadiran pengundi yang mula tiba sejak awal pagi.
Bercakap kepada media selepas selesai menjalankan proses mengundi, Hajiji menyatakan rasa puas hati beliau terhadap perjalanan proses pengundian yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain menzahirkan keyakinan terhadap kelancaran keseluruhan operasi pengundian hari ini.
“Saya dapat laporan begitu baik, aman, damai. So, inilah walaupun banyak calon-calon yang bertanding, tetapi keharmonian itu mesti dipertahankan,” katanya yang juga penyandang kerusi DUN Sulaman.
Kerusi DUN Sulaman merekodkan 18,352 pengundi berdaftar, menjadikannya antara kawasan yang mempunyai bilangan pengundi sederhana besar di daerah Tuaran.
Pada PRN kali ini, Hajiji berdepan saingan lima penjuru.
Beliau sekali lagi mempertaruhkan pencapaian dan rekod perkhidmatannya untuk mempertahankan kerusi yang telah diwakilinya sejak tahun 1990.
Pada PRN16 lalu, Hajiji mengekalkan kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dan kali ini beliau turun sebagai Ketua Menteri yang berusaha mendapatkan mandat penuh rakyat untuk penggal baharu.

