PRN Sabah: Petugas SPR bawa peti undi ke pedalaman Kudat, Pensiangan guna helikopter

Nasional

Foto NSTP

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, menggerakkan petugas serta menghantar peti undi ke kawasan pedalaman di Parlimen Kudat dan Pensiangan.

Ia termasuk menggunakan helikopter, bagi memastikan kelancaran proses pengundian menjelang hari pengundian esok.

Penghantaran logistik dilakukan ke pusat mengundi yang terletak di pulau, penempatan pesisir serta kampung pedalaman yang sukar diakses melalui jalan darat.

Di Kudat, peti undi dibawa ke beberapa pulau dan kawasan terpencil, manakala di Pensiangan, penghantaran menggunakan helikopter diperlukan untuk mencapai perkampungan yang mengambil masa berjam-jam, jika melalui laluan berbukit.

Menurut SPR, penyediaan logistik awal adalah sebahagian daripada langkah memastikan semua pusat mengundi berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

Ia memandangkan Sabah mempunyai 882 pusat mengundi biasa yang merangkumi 3,558 saluran untuk hari pengundian esok.

Keseluruhan operasi penghantaran turut disertai anggota keselamatan bagi memastikan peti undi, peralatan teknikal dan pasukan petugas tiba dengan selamat serta mematuhi prosedur pilihan raya.

SPR memaklumkan persiapan logistik kini berada pada fasa akhir, dengan semua pusat mengundi dijangka beroperasi mengikut jadual pada hari pengundian.

Scroll to Top