
Oleh: Poliana Ronnie Sidom
KINABATANGAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berharap proses mengundi berjalan lancar dan pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab.
Ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, di sini, Bung Moktar berkata, beliau sendiri akan meninjau beberapa pusat daerah mengundi (PDM) untuk memastikan proses berkenaan lancar.
“Saya memang berhasrat untuk melawat beberapa PDM.
“Kita mahu pastikan pengundi ‘putih’ yang sudah kita susun ini dapat turun awal mengundi,” katanya.
Bung Moktar berkata, semua calon BN juga akan berkumpul malam ini di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu untuk menunggu keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Terdahulu, Bung Moktar tiba di pusat mengundi SK Bukit Garam pada jam 11.30 pagi dan selesai melakukan proses itu kira-kira jam 11.50 pagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kali ini menyaksikan persaingan enam penjuru antara Bung Moktar yang mempertahankan kerusi itu bersama lima lagi calon.
Mereka ialah Johainizamshah Johari dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Salahuddin @ Salehuddin Anoi dari Parti Impian Sabah (PIS), Mohd Saifullah Lokman dari WARISAN, Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali dari Perikatan Nasional (PN).
Pada pilihan raya lalu, Bung Moktar memenangi kerusi itu dengan memperoleh 3,035 undi dengan majoriti 661 undi.

