Dunia
RABAT: Dua orang terbunuh selepas polis melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu yang cuba menyerbu sebuah balai polis di selatan Maghribi, ketika gelombang protes belia semakin memuncak di seluruh negara itu.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan lebih 160 kenderaan dibakar dalam rusuhan terbaru, lapor Al Jazeera.
Keganasan turut dilaporkan di wilayah Souss termasuk bandar Ait Amira, Inezgane, Agadir dan Tiznit, selain di bandar timur Oujda.
Lebih 400 orang ditahan susulan demonstrasi itu yang menuntut pembaharuan dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata protes pada malam keempat lebih ganas berbanding sebelumnya dengan 263 anggota keselamatan dan 23 orang awam cedera apabila penunjuk perasaan membakar kereta serta merosakkan kedai.
Protes dianjurkan oleh kumpulan belia tanpa kepimpinan jelas yang menamakan diri mereka GenZ 212, menggunakan platform seperti TikTok, Instagram dan aplikasi permainan Discord.
Walaupun begitu, kumpulan GenZ 212 dalam kenyataan di media sosial menegaskan mereka menolak keganasan dan hanya menuntut keadilan sosial serta pembaharuan kerajaan dan bukan menentang pasukan keselamatan. AGENSI