Pulau Perhentian dilanda banjir

Oleh: Nazdy Harun

BESUT: Pulau Perhentian berdepan bencana banjir berikutan air pasang dan hujan lebat berterusan sejak malam semalam.

Penduduk, Mohd Deraman, 68, berkata, air mula naik pada jam 6 pagi menyebabkan beberapa kediaman penduduk serta laluan utama di kampung itu ditenggelami banjir hampir satu meter.

Menurutnya, fenomena itu jarang berlaku di kawasan pulau berkenaan, namun hujan lebat tanpa henti sejak malam Sabtu mengakibatkan berlakunya banjir.

“Kami bimbang kerana paras air tidak menunjukkan tanda surut kerana hujan masih berterusan.

“Majoriti penduduk tidak sempat buat persiapan awal kerana air naik terlalu cepat dan ada yang terus mengangkat barang-barang penting ke tempat tinggi termasuk dokumen, pakaian dan peralatan elektrik,” katanya.

Mohd berkata, tiada penduduk dipindahkan sehingga jam 10 pagi tadi kerana keadaan masih terkawal namun semua masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan hujan masih berterusan.

Menurutnya, buat masa ini penduduk masih kekal di rumah masing-masing tetapi semua bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berwajib.

Katanya, dia berharap hujan kembali reda kerana sekiranya berterusan akan mengakibatkan keadaan semakin buruk.

“Sebelum ini pun pernah berlaku namun kali ini banjir berlaku secara mendadak hingga mengakibatkan timbulnya situasi kelam-kabut dalam kalangan penduduk.

“Namun, dalam masa sama kami masih berwaspada kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku memandangkan cuaca masih tidak menentu dan kedudukan kami pula di bahagian pulau,” katanya.

Sementara itu, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pulau Perhentian mula dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian sebagai langkah kesiapsiagaan namun tiada mangsa direkodkan setakat ini.

Manakala situasi banjir di Kampung Baru Pulau Redang semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 353 penduduk daripada 82 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di PPS Masjid Kampung Pulau Redang yang dibuka pagi Sabtu berikutan hujan berterusan sejak malam Jumaat disusuli fenomena air pasang besar.

Scroll to Top