Dunia

GENEVA: Seorang pegawai Doctors Without Borders (MSF) menyeru negara lain membuka pintu bagi menampung puluhan ribu penduduk Gaza yang sangat memerlukan evakuasi perubatan.
Ratusan dilaporkan telah meninggal dunia ketika menunggu rawatan.
Hani Isleem, yang menguruskan evakuasi perubatan dari Gaza bagi pihak MSF berkata, keperluan itu terdesak dengan jumlah pesakit yang diterima setakat ini terlalu rendah.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 8,000 pesakit telah
dipindahkan dari Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.
Namun, lebih 16,500 pesakit masih memerlukan rawatan di luar wilayah Palestin.
Isleem yang mengiringi kanak-kanak Gaza yang sakit dan cedera ke Switzerland berkata, angka itu hanya berdasarkan pesakit yang didaftarkan untuk evakuasi perubatan.
Namun angka sebenar dijangka tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi.
Sehingga kini, lebih 30 negara menerima pesakit Gaza, tetapi hanya beberapa negara termasuk Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sahaja menerima jumlah besar.
Di Eropah, Itali telah menerima lebih 200 pesakit, manakala negara besar seperti Perancis dan Jerman masih belum menerima pesakit dari Gaza. – AFP

