BATU KAWAN, 1 Okt (Bernama) — Polis menahan seorang pelajar sekolah yang menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan pelbagai aksi dalam kejadian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, yang videonya turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata remaja berusia 14 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS pada 10.30 malam semalam dan polis turut merampas motosikal digunakan dalam kejadian itu.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu klip video yang tular di media sosial memaparkan aksi berbahaya penunggang motosikal di JSAHMS, yang turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang iaitu dari Batu Maung ke Batu Kawan.
“Dalam video itu kelihatan penunggang motosikal melakukan aksi mengangkat kaki, meniarap di atas motosikal dan menundukkan kepala. Tindakan itu bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri tetapi turut mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jay berkata ujian air kencing mendapati remaja itu negatif dadah dan dia ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menunggang secara melulu dan berbahaya.
Beliau berkata polis juga sedang mengesan beberapa lagi penunggang motosikal lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian berkenaan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
KATA KUNCI
BERITA BERKAITAN
LAGI BERITA