Sukan
MILAN: AS Roma melonjak ke tangga teratas Serie A selepas bangkit menewaskan Fiorentina 2-1 di Florence, sebentar tadi sekali gus meletakkan tekanan ke atas Napoli dan AC Milan.
Matias Soule dan Bryan Cristante masing-masing menjaringkan gol pada babak pertama untuk membantu skuad kendalian Gian Piero Gasperini meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga.
Kemenangan itu menyaksikan Roma kini mengumpul 15 mata, tiga mata di depan Milan dan Inter Milan yang menewaskan Cremonese 4-1, semalam.
Roma bagaimanapun dikejutkan dengan gol Moise Kean pada minit ke-14 yang membuka tirai jaringan buat Fiorentina.
Kean hampir menambah gol kedua apabila percubaannya pada minit ke-38 singgah di tiang, tidak lama selepas Cristante menanduk masuk gol pendahuluan pelawat.
Fiorentina yang masih tercari-cari kemenangan sulung musim ini turut diuji nasib apabila sepakan voli Roberto Piccoli pada minit ke-74 hanya singgah di palang.
Kekalahan itu mengekalkan mereka dengan tiga mata, satu tangga di atas zon penyingkiran.
Napoli berpeluang menyamakan kedudukan mata dengan Roma apabila menanti kunjungan Genoa, tengah malam ini manakala Milan akan menguji kredibiliti mereka dalam pemburuan gelaran juara dengan kunjungan berdepan Juventus di Turin.