Nasional

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Sabah berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, dengan komitmen kerajaan diterjemah melalui pelaksanaan yang nyata.
Dalam rapat umum bersama calon Pakatan Harapan (PH) di Likas hari ini, beliau yang juga Pengerusi PH, menekankan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dihormati, ditunaikan dan diperkasakan, bukannya dijadikan slogan politik setiap kali musim pilihan raya.

“Banyak perkara asas yang sekian lama tertangguh kini dipacu dengan lebih pantas, termasuk penambahbaikan bekalan elektrik, pembinaan rangkaian jalan raya hinggalah penyelesaian masalah air yang membebankan rakyat saban tahun.
“Saya tidak datang membawa janji kosong. Kerajaan MADANI sedang mengukuhkan tatakelola, menutup ruang ketirisan dan memastikan setiap sen yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya di laman sosial Facebook.
Anwar turut menyeru sinergi yang kuat, jujur dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, bagi memastikan hasil pembangunan kembali kepada rakyat Sabah.
Beliau mengajak rakyat Sabah untuk menolak politik yang memecah-belahkan dan memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi memperjuang hak rakyat, membawa negeri ke tahap yang lebih maju, inklusif dan bermaruah.

